Telinga manusia Telinga

Anatomi telinga manusia

Bahagian telinga

Telinga terdiri daripada tiga bahagian: telinga luar, telinga tengah, dan telinga dalam.

Telinga luar

Bahagian luar merupakan bahagian terluar telinga. Telinga luar terdiri daripada cuping telinga, lubang telinga, dan saluran telinga luar. Telinga luar meliputi cuping telinga atau pinna, lubang telinga atau meatus auditorius eksternus, dan gegendang telinga atau membrana timpani.

Bahagian cuping telinga berfungsi untuk membantu mengarahkan bunyi ke dalam lubang telinga dan akhirnya menuju ke gegendang telinga. Bentuk yang begitu rumit pada telinga luar berfungsi untuk menangkap bunyi dan bahagian terpenting ialah lubang telinga. Saluran ini merupakan hasil susunan tulang dan rawan yang dilapisi kulit tipis.

Di dalam saluran terdapat banyak kelenjar yang menghasilkan zat seperti lilin yang disebut serumen atau tahi telinga. Hanya bahagian saluran yang menghasilkan sedikit serumen yang memiliki rambut. Pada hujung saluran terdapat gegendang telinga yang meneruskan bunyi ke telinga dalam.

Keradangan pada bahagian telinga ini disebut sebagi otitis eksterna. Hal ini biasanya terjadi kerana kebiasaan mengorek telinga dan akan menjadi masalah bagi pesakit diabetes mellitus .

Telinga luar dan kebudayaan

Walaupun bahagian cuping telinga tidak begitu penting, bahagian ini sering digunakan untuk memperbaiki wajah. Dalam masyarakat Barat, telinga yang terlalu besar dan kelihatan tidak simetri akan memburukkan penampilan. Pembedahan pertama untuk mengatasi hal ini diterbitkan pada 1881.

Tindik telinga.

Telinga juga menjadi tempat perhiasan selama ribuan tahun, terutama dengan menindik telinga.Dalam beberapa kebudayaan, perhiasan tersebut ditempatkan untuk menarik dan memperbesar daun telinga.

Telinga tengah

Telinga tengah meliputi gegendang telinga, 3 tulang osikel pendengaran (tukul, andas dan rakap). Pinggir tiub Eustachio juga berada di telinga tengah.

Getaran suara yang diterima oleh gegendang telinga akan disampaikan ke tulang pendengaran. Setiap tulang pendengaran akan menyampaikan getaran ke tulang berikutnya. Tulang stap yang merupakan tulang terkecil di tubuh meneruskan getaran ke koklea.

Pada manusia dan haiwan darat yang lain, telinga tengah dan saluran pendengaran akan terisi udara dalam keadaan normal. Tidak seperti pada bahagian luar, udara pada telinga tengah tidak berhubungan dengan udara di luar tubuh.

Tiub Eustachio menghubungkan ruangan telinga tengah ke kerongkong. Dalam keadaan biasa, hubungan tiub Eustachio dan telinga tengah tertutup dan terbuka ketika mengunyah dan menguap. Hal ini menjelaskan mengapa penumpang kapal terbang berasa 'pekak sementara' ketika mendarat. Rasa 'pekak' disebabkan wujudnya perbezaan tekanan antara udara sekeliling. Tekanan udara di sekitar telah menurun, sedangkan di telinga tengah merupakan tekanan udara biasa. Perbezaan ini dapat diatasi dengan mekanisme mengunyah sesuatu atau menguap.

Peradangan atau jangkitan pada bahagian telinga ini disebut sebagai Otitis Media.

Telinga dalam

Pendengaran
Potongan melintang koklea. Endolimfa terdapat pada skala media - kawasan hijau terang pada tengah rajah.

Telinga dalam terdiri daripada labirin bertulang, sebuah rangkaian rongga pada tulang pelipis yang dilapisi periosteum yang berisi cairan perilimfa dan labirin bermembran, yang terletak lebih dalam dan memiliki cairan endolimfa. Di depan labirin terdapat koklea.

Bahagian atas skala media dihadkan oleh membran vestibularis atau membran Reissner dan sebelah bawah dihadkan oleh oleh membran basilaris. Di atas membran basilaris terdapat organo corti yang berfungsi mengubah getaran suara menjadi impuls.

Organo corti terdiri daripada sel rambut dan sel penyokong. Di atas sel rambut terdapat membran tektorial yang terdiri dari gelatin yang lentur, sedangkan sel rambut akan dihubungkan dengan bagian otak dengan saraf vestibulokoklearis.

Keseimbangan

Selain bahagian pendengaran, bahagian telinga dalam terdapat pengesan keseimbangan. Bahagian ini secara struktur terletak di belakang labirin yang membentuk struktur utrikulus dan sakulus serta tiga salur separa bulat atau kanalis semisirkularis. Kelima-lima bahagian ini berfungsi mengatur keseimbangan badan dan memiliki sel rambut yang akan dihubungkan dengan bahagian keseimbangan dari saraf vestibulokoklearis.

Berkaitan